Friday, 20 April 2012

Tafsir Fi Zilalil Quran - Surah An-Nas


Tafsir Fi Zilalil Quran - Surah An-Nas




Surah An-Nas 
Surah Manusia
Surah (114) - Makkiyah - 6 ayat

Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

1. Katakanlah (wahai Muhammad) aku pohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara manusia.
2. Yang menguasai (dan memerintah) manusia.
3. Tuhan yang disembah manusia.
4. Dari kejahatan (Syaitan) pembisik yang datang dan menghilang.
5. Yang membisik (kejahatan) di dalam dada manusia.
6. Iaitu dari (Syaitan) jin dan manusia.






Dalam surah ini dipohonkan perlindungan pada Tuhan yang memelihara manusia, yang memerintah manusia dan yang disembah manusia dan perkara yang dipohon perlindungan ialah kejahatan syaitan yang datang dan menghilang iaitu yang membisik kejahatan dalam hati manusia iaitu dari Syaitan yang  tidak nampak dan Syaitan manusia.

Memohon perlindungan pada Tuhan  yang memelihara, yang memerintah dan yang disembah itu bererti menghadirkan sifat-sifat Allah yang Agung yang dapat menolak segala kejahatan umumnya dan kejahatan Syaitan pembisik yang datang dan menghilang khususnya. 

Ar-Rab ialah sifat Allah yang memelihara, mengasuh, mengarah, menjaga dan melindung. Al-Malik ialah sifat Allah yang memilik, memerintah dan mentadbir. Al-Ilaah ialah sifat Allah yang menguasai segala-galanya. Semua sifat-sifat ini berkuasa memberi pertolongan dan kejahatan yang meresap dalam hati-hati manusia yang tidak mengetahui bagaimana hendak menolak kejahatan-kejahatan yang tersembunyi itu. 

Allah itu adalah pemelihara dan pelindung segala makhluk, pemerintah segala makhluk dan penguasa segala makhluk, tetapi di sini Allah disebut khusus sebagai pemelihara dan pelindung manusia, pemerintah manusia dan Tuhan yang  disembah manusia supaya manusia merasa begitu hampir kepada-Nya dalam detik-detik mencari perlindungan dan naungan.

Allah telah mengarahkan Rasul-Nya SAW dan sekalian umatnya, supaya mencari perlindungan dan naungan pada-Nya dengan menghadirkan pengertian-pengertian dan sifat-sifat tersebut semoga diperlindungkan mereka dari kejahatan yang sangat halus jejak langkahnya, yang tidak terdaya ditolakkannya melainkan dengan pertolongan Allah pemerintah dan penguasa yang Maha Agung, kerana kejahatan yang halus itu menyerang mereka tanpa disedari.

Mula-mula Allah menyebut sifat Syaitan sebagai:

4. Dari kejahatan (Syaitan) pembisik yang datang dan menghilang. Kemudian Dia menyebut kerjanya:

5. Yang membisik (kejahatan) di dalam dada manusia.

Kemudian Dia memperkenalkan hakikatnya:

6. Iaitu dari (Syaitan) jin dan manusia.  

Tertib susunan ini membangkitkan kesedaran dan perhatian untuk mengenal hakikat Syaitan pembisik yang datang dan menghilang itu dan cara-cara ia bekerja melaksanakan kejahatannya sebagai persediaan untuk menolak dan mengawasi gerak langkahnya. Apabila seseorang itu menyedari bahawa Syaitan yang tidak nampak itu membisikkan kejahatan dalam hati manusia secara halus dan tidak dapat dilihat begitu juga apabila ia menyedari ada manusia yang dapat menyerap ke dalam dada dan menaburkan kejahatan dalam hati manusia sama seperti Syaitan yang tidak nampak itu, maka ia akan bersiap sedia untuk mempertahankan dirinya dari kejahatan itu, kerana ia telah mengetahui tempat persembunyian, pintu dan jalan masuk (Syaitan-syaitan itu).

Kita tidak mengetahui bagaimana  berlangsungnya bisikan Syaitan, tetapi kita merasakan kesan-kesannya dalam jiwa dan dalam realiti hidup kita. Kita sedar bahawa pertarungan antara Adam dengan Iblis adalah satu pertarungan yang amat lama. Kita sedar bahawa Syaitan telah mengisytiharkan perang berterusan, iaitu satu perisytiharan yang lahir dari tabiat jahat yang ada dalam dirinya, dan lahir dari sifat-sifat angkuh, hasad dengki dan dendam kesumatnya terhadap manusia.

Kita sedar Syaitan telah meminta kebenaran dari Allah untuk memerangi manusia, dan permintaannya itu telah diluluskan Allah kerana suatu hikmat yang diketahui-Nya. Walau bagaimanapun Allah tidak membiarkan manusia mengharungi perjuangan itu tanpa senjata, malah Dia telah menjadikan keimanan sebagai perisai untuk mereka, zikir sebagai kelengkapan perang dan doa memohon perlindungan sebagai senjata. Andainya manusia itu lupakan perisai, kelengkapan dan alat senjatanya maka dialah sahaja yang patut disalahkan.

Dari Ibn 'Abbas RA katanya sabda Rasulullah SAW:

"Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut Allah ia akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai ia akan membisikkan kejahatan."

Mengenai penggoda-penggoda dari kalangan manusia pula kita memang mengetahui dan mengenali banyak dari hasutan-hasutan dan bisikan-bisikan mereka yang jahat, malah kita tahu bahawa di antara hasutan dan bisikan jahat manusia itu ada yang lebih buruk daripada hasutan dan bisikan Syaitan. Mereka terdiri daripada: Teman-teman jahat yang menaburkan kejahatan ke dalam hati dan akal kawannya tanpa disedari dan diawasi olehnya kerana ia teman yang dipercayainya.

Pemagar-pemagar yang mengelilingi pembesar-pembesar yang membisikkan fikiran-fikiran yang jahat kepada mereka sehingga mereka bertindak ganas dan zalim terhadap rakyat jelata negerinya. Tukang-tukang umpat dan fitnah yang pandai bermadah dengan kata-kata yang begitu indah dan licin hingga apa yang dikatakannya itu kelihatan seolah-olah amat benar dan tidak dapat dipertikaikan lagi. Penjual-penjual nafsu yang masuk dari pintu-pintu naluri dengan gaya yang amat menarik yang tidak dapat ditolak melainkan dengan kesedaran hati nurani dan pertolongan dari Allah.  

Di sana terdapat berpuluh-puluh jenis pembisik kejahatan yang datang dan menghilang, yang membuat perangkap-perangkap kejahatan dan menyeludupkannya ke dalam hati manusia. Mereka adalah lebih jahat daripada Syaitan-syaitan yang tidak nampak dan lebih halus daripada jejak langkahnya. Manusia memang tidak berupaya untuk menolak bisikanbisikan kejahatan yang halus, kerana itu Allah menunjukkan perisai dan alatalat senjata kepada mereka supaya  mereka dapat menempuh pertarungan yang dahsyat itu. Syaitan pembisik itu telah disifatkan dengan kelakuan "datang dan menghilang" ini adalah satu isyarat  yang mengandung tujuan, kerana dari satu segi sifat itu menunjukkan bahawa kelakuan Syaitan itu lebih suka bersembunyi dan menunggu peluang.  Andainya terbuka ia akan meresap masuk perlahan-lahan membisikkan kejahatan-kejahatannya, dan dari satu segi yang lain pula menunjukkan satu kelemahan Syaitan apabila berdepan dengan mereka yang sedar dan siap-siaga mengawal pintu hatinya. Oleh sebab itu semua pembisik-pembisik kejahatan sama ada dari Syaitan yang
tidak nampak atau dari Syaitan-syaitan manusia apabila dilawan mereka akan berundur menyembunyikan diri  sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah SAW,

"Apabila manusia menyebut nama Allah, ia akan mengundurkan dirinya dan apabila manusia lalai, ia akan membisikkan kejahatan."

Isyarat ini boleh menguatkan hati seseorang untuk menghadapi Syaitan pembisik kejahatan, kerana ia  bersifat datang dan menghilang iaitu bersifat lemah apabila ia berdepan dengan alat senjata orang mu'min di medan pertempuran. Dan satu segi yang lain pertarungan dengan Syaitan merupakan satu pertarungan lanjut yang tidak akan tamat. Syaitan selamalamanya menunggu peluang untuk menyerang manusia pada saat-saat kelalaian, dan pertarungan itu akan  terus meletus sekali kalah dan sekali menang hingga sampai kepada hari Qiamat sebagaimana yang digambarkan di berbagai-bagai tempat dalam al-Qur'an di antaranya ialah gambaran yang menarik dalam surah Al-Isra' yang berikut:

61. "Dan (kenangilah) ketika Kami berfirman kepada para Malaikat,
Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sekalian pun sujud kecuali Iblis, ia berkata: Adakah wajar aku sujud kepada orang yang telah Engkau ciptakannya daripada tanah?"

62. Dia berkata lagi, "Terangkanlah inikah orangnya yang telah Engkau muliakannya lebih daripadaku? Sesungguhnya jika dapat Engkau memberi tempoh kepadaku sehingga hari qiamat nescaya akan aku sesatkan zuriatnya kecuali sebahagian yang kecil."

63. Lalu Allah menjawab: "Baik pergilah! Sesiapa daripada mereka yang mengikut engkau, maka neraka Jahannamlah balasan yang sungguh padan untuk kamu."

64. "Dan kejutkan dengan suaramu sesiapa sahaja daripada mereka yang dapat engkau lakukan, dan kerahkan angkatan berkudamu dan kerahkanlah angkatan jalan kakimu untuk menyerang mereka, dan
berkongsilah harta-benda dan anak-pinak dengan mereka dan kemukakan janji-janjimu kepada mereka, dan sebenarnya tiada apa yang dijanjikan Syaitan kepada mereka melainkan hanya tipu daya sahaja."

65. "Sesungguhnya engkau tidak mempunyai kuasa untuk menguasai hamba-hamba kesayangan-Ku, dan cukuplah Tuhanmu itu menjadi penjaga."

Inilah gambaran perjuangan dan motif-motifnya yang jahat sama ada perjuangan secara langsung dari Syaitan atau perjuangan melalui manusiamanusia yang menjadi agen-agennya, dan dalam perjuangan itu manusia akan tetap merasa ia tidak terus kalah, kerana Tuhan yang memelihara dan menguasainya dan Tuhan yang disembahnya itu tetap berkuasa di atas seluruh makhluk-Nya. Walaupun Allah membenarkan Iblis melancarkan peperangan menentang manusia, tetapi Dia tetap menguasai Iblis itu. Dia hanya membiarkan Syaitan itu menakluk orang-orang yang lalai dari Tuhan mereka sahaja, sedangkan orang-orang yang mengingati Allah akan terselamat daripada kejahatan dan bisikan Syaitan yang halus.

Kini jelaslah bahawa kebaikan itu haruslah bersandar kepada kekuatan dan hakikat Ilahi yang sejati yang tiada kekuatan dan hakikat yang lain daripadanya dan pastilah bersandar kepada Allah  Tuhan yang memelihara, Tuhan yang memerintah dan Tuhan yang disembah, sedangkan kejahatan pula bersandar kepada bisikan Iblis yang datang dan menghilang, yang lemah apabila ditentang, yang mundur ke belakang apabila ditempur dan yang tewas di hadapan perlindungan dan naungan Allah.

Ini adalah satu kefahaman hakikat kebaikan dan kejahatan yang paling sempurna di samping merupakan sebaik-baik kefahaman yang dapat memelihara hati daripada kekalahan  dan mengisikannya dengan bekalan kekuatan, kepercayaan dan keyakinan. Alhamdulillah awal dan akhir. Pada Allah keyakinan dan Taufik. Dialah Tuhan yang dipohon pertolongan dan Dialah Tuhan yang Maha Penolong.

Sumber: dari buku Tafsir Fi Zilalil Quran

Comments
0 Comments
Khas dari:

KhasiatQuran2u.info

Kemaskini: 01:56

0 comments:

Post a Comment

Penyumbang trafik

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop