Sunday 11 March 2012

Pujukan dari Al-Quran

Ingatkah kita peristiwa tsunami di Aceh? Sekadar hiasan.

Setiap peristiwa dan musibah yang berlaku dimuka bumi dan diri manusia semuanya mengandungi hikmah dan hanyalah Allah S.W.T. Maha Mengetahui setiap apa yang diciptakan dan ditakdirkan-Nya.

Dengan iitu, kita sebagai manusia biasa perlulah bersabar dan bertenang dan mencari kebaikan dan hikmah  tersembunyi disebalik setiap peristiwa dan musibah yang berlaku. Inilah yang akan melahirkan jiwa yang  reda dengan Qadak dan Qadar dan bersyukur di atas nikmat dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Terdapat persoalan-persoalan yang sering dikemukakan oleh manusia kepada Allah S.W.T. dan jawapannya di dalam al-Quran Karim.

Soalan pertama : Kenapalah aku diuji sebegini?

Surah al-Ankabut  ayat 2-3 : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar , dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." 

Huraian:
Setiap ujian yang ditimpakan oleh Allah S.W.T. kepada para hamba-Nya sebenarnya Dia ingin mengurniakan sesuatu ganjaran yang lebih besar dan lebih baik. Allah S.W.T. akan menghapuskan dosa-dosanya dan memberi ganjaran pahala yang besar. Di hari akhirat nanti tidak ada balasan yang lebih baik melainkan mendapat balasan syurga. 

Soalan kedua : Kenapalah aku tidak dapat apa yang aku inginkan?

Surah al-Baqarah  ayat 216 : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".

Huraian:
Sseungguhnya sesuatu perkara itu hakikat sebenarnya Allah Maha Mengetahui. Baik atau buruk sesuatu perkara itu ianya adalah di dalam ilmu Allah. Yakinilah jika sesuatu doa atau hajat tidak ditunaikan-Nya ada sesuatu yang lebih baik akan diberi Allah S.W.T. sebagai penganti apa yang kita hajatkan. Jika tidak dapat di dunia, nanti di hari akhirat Dia akan memberkannya kepada kita, oleh itu berbaik sangkalah kepada-Nya. 

Soalan ketiga : Kenapa ujian seberat begini?

Surah al-Baqarah ayat 286 : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".

Huraian:
Allah S.W.T. Maha Mengetahui kemampuan kita sebagai hamba-Nya yang kerdil, oleh itu apa sahaja yang berlaku keatas diri kita sebenarnya masih dibawah kemampuan kita untuk menghadapinya. Anggaplah sesuatu ujian itu dengan fikiran yang positif dan cubalah renungkan bahawa terdapat orang lain yang lebih berat menghadapi ujian daripada kita maka dengan itu akan terasa beban yang ditanggung akan menjadi lebih ringan.

Soalan keempat  : Kenapa kita rasa kecewa?

Surah Ali Imran  ayat 139 : "Janganlah kamu bersikap lemah , dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman".

Huraian:
Yakinlah sifat orang mukmin tidak akan rasa kecewa atau putus asa kerana orang mukmin akan sentiasa reda dengan Qadak dan Qadar. Jika kita merasai kita mulia di sisi Allah S.W.T. kerana kita orang yang beriman dan bertakwa maka akan hilang perasaan negatif ini.

Soalan kelima : Bagaimana harus aku menghadapi kesusahan ini?

Surah al-Baqarah ayat 45 : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat , dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".

Huraian:
Benarlah saranan Allah S.W.T. bahawa sifat sabar dan sentiasa mengerjakan solat wajib dan sunat akan membantu orang mukmin ketika dia menghadapi ujian dan kesukaran dalam hidup. Dia akan melapangkan fikiran kita dan melepaskan daripada segala kesusahan ini jika kita istiqamah dengan bersabar dan menjadikan solat kerana solat adalah doa dan munajat para hamba kepada Tuhannya.

Soalan keenam : Kepada siapa aku berharap?

Surah at-Taubah ayat 129 : "Cukuplah Allah bagiku , tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal".

Huraian:
Tidak ada tempat lain untuk kita bergantung dan memohon pengharapan hanya kepada Allah S.W.T. yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan yang mengkabulkan segala doa dan permintaan. 

Surah at-Taubah  ayat 111 : Apa yang aku dapat daripada semua ujian ini?

Quran menjawab : "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin , diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka".

Huraian:
Tidak ada balasan yang paling berharga yang di miliki oleh manusia yang bertakwa melainkan balasan syurga seluas langit dan bumi. Semua ujian yang dihadapai tidak akan sia-sia kerana Allah S.W.T. telah berjanji akan memberikan balasan syurga kepada siapa yang sanggup berjihad dijalan-Nya dengan harta, masa dan nyawa semata-mata mencari keredaan-Nya. 

Soalan kelapan : Aku tak tahan dengan ujian ini!

Surah Yusuf  ayat 12 : "...dan janganlah kamu ber putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir".

Huraian:
Orang mukmin tidak akan putus asa dengan rahmat Allah dan sentiasa bersabar dengan ujian yang melanda dirinya kerana sifat orang yang putus asa adalah sifat orang-orang kafir. 

Soalan kesembilan : Sampai bila aku akan merana begini?

Surah al-Insyirah ayat 5-6 : "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan".

Huraian:
Benar apa yang dijelaskan oleh al-Quran bahawa setiap kesusahan itu akan ada kebahagiaan . Allah S.W.T. Maha Adil dan tidak pernah menganiaya hamba-hamba-Nya dan akan sampai pula masanya Dia akan memberi pertolongan dan memberi kemudahan. Ingatlah bahawa pertolongan Allah S.W.T. cukup dekat bila kita baik sangka dengan-Nya.

Begitulah sembilan soalan dan semuanya telah diberi jawapan oleh Allah S.W.T melalui Al-Quran kerana sesungguhnya Al-Quran adalah mukjizat daripada Allah S.W.T kepada semua hamba-hamba-Nya. Apabila kita dapat memahami hikmah dibalik semua kejadian di dunia ini, maka hati kita akan menjadi tenang dan yakin dengan janji-janji Allah S.W.T. yang dinyatakan-Nya di dalam al-Quran.

Firman Allah maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".(Surah  Al-Hadid: ayat 22) 

Dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). " (Surah Yunus ayat 61)

Comments
1 Comments
Khas dari:

KhasiatQuran2u.info

Kemaskini: 06:30

1 comments:

Unknown said...

Sesungguhnya Al Quran itu sebaik-baik kitab yang mempunyai mukjzat. Terima kasih berkongsi artikel ini. :)

Al Quran dan Kepentingan

Post a Comment

Penyumbang trafik

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop